Jerman tidak pernah tersingkir daripada kejohanan utama dua kali berturut-turut di peringkat kumpulan tetapi memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri menentang Hungary bagi mengelak kempen yang mengecewakan.

Skuad kendalian Joachim Low mengalami penyingkiran awal dalam Piala Dunia 2018 dan berdepan permulaan buruk dalam Euro 2020 apabila tewas kepada Perancis.

Juara dunia 2014 bangkit dengan kemenangan 4-2 ke atas penyandang juara, Portugal, dan masih boleh mendahului kumpulan dengan kemenangan, sekaligus membuat pertemuan dengan pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga di peringkat berikutnya.

Tetapi Jerman berdepan skuad Hungary yang bermotivasi tinggi, yang turut memiliki peluang mara ke pusingan 16 dengan kemenangan selepas seri dengan Perancis.



Satu-satunya pertemuan antara kedua-dua pasukan ini dalam peringkat kumpulan menyaksikan Jerman tewas 8-3 bagi saingan Piala Dunia 1954. Namun, mereka bangkit sebelum mengatasi Hungary di final.

Dan Magyars belum memenangi perlawanan terakhir peringkat kumpulan mereka sejak Piala Dunia 1966.

Marco Rossi mengakui berdepan perlawanan aygn sukar, menyifatkan mara ke pusingan 16 sebagai satu pencapaian menjelang perlawanan itu awal pagi esok.

"Kami bertemu lawan yang mungkin ke separuh akhir dan beraksi di London," katanya.

"Kumpulan ini dipanggil 'Kumpulan Maut' dan jelas pasukan yang bakal jatuh adalah Hungary. Secara teori, sukar untuk tidak bersetuju dengan seseorang yang membuat ramalan seperti itu."