Jadon Sancho memberi jaminan bahawa tumpuannya tidak akan terganggu untuk membantu England dalam Euro 2020 biarpun pemain sayap Borussia Dortmund itu dilaporkan sedang menjadi sasaran utama Manchester United.

Pemain berusia 21 tahun itu mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain muda terbaik di Eropah menerusi satu lagi musim gemilangnya di Dortmund.

Dia menghasilkan lapan gol dan 11 bantuan jaringan daripada 16 perlawanan Bundesliga dan menjadi pemain kelima paling banyak mencipta peluang dalam liga itu menerusi 67 yang dicetuskannya -- rekod agak tinggi bagi pemain yang baru berusia 21 tahun.

Kualiti itu membuatkan United -- yang gagal dalam percubaan pertama untuk mendapatkan sancho pada 2020 -- terus berminat untuk mendapatkan pemain berkenaan.

BBC melaporkan bidaan United bernilai £67 juta (RM390.9 juta) telah ditolak Dortmund tetapi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dikhabarkan bersedia untuk menyediakan tawaran lebih besar.

Dengan Dortmund diminta untuk menurunkan tanda harga pemain itu kepada £80 juta (RM466.7 juta), ia menggambarkan bahawa satu kesepakatan dapat dicapai dalam masa terdekat.

Sancho, bagaimanapun, tidak mahu mengendahkan spekulasi itu memandangkan dia sedang mempersiapkan diri bagi membantu negaranya dalam Euro 2020.

"Saya tenang mengenainya," kata Sancho kepada talkSPORT.

"Akan sentiasa ada spekulasi, terutama apabila anda beraksi baik.

"Ia hanya tentang bagaimana anda menanganinya di atas padang.

"Anda perlu meneruskan apa yang anda lakukan, jika anda meneruskannya, saya pasti ia tidak akan menjadi satu masalah.

"Perkara utama adalah permainan saya dan itulah yang sedang saya tumpukan ketika ini," katanya.