Jarang dapat mendengar bekas ketua pasukan Manchester United, Roy Keane, memuji pemain tetapi Kalvin Phillips dan Declan Rice mendapat pengecualian itu.

Mereka mempamerkan prestasi memberangsang ketika England menang tipis 1-0 ke atas Croatia dalam Euro 2020, malam semalam.

Hantaran lolos Philips -- yang mewakili Leeds United -- disudahkan Raheem Sterling dalam kempen pembukaan itu untuk The Three Lions menamatkan badi kemenangan dalam kejohanan Eropah selain membentuk gandingan jitu di samping Declan Rice di bahagian tengah.

"Sebelum sepak mula ada yang berpandangan mereka mungkin akan mencatat keputusan seri tetapi saya fikir adalah sangat penting mereka dapat mencipta kemenangan," kata pengulas Sky Sports itu kepada ITV.

"Saya fikir ia satu prestasi yang sangat baik oleh England. Sangat matang mengenai cara mereka menguruskan permainan dan mempelbagaikan corak dengan baik -- hantaran pendek yang bagus kemudian memerangkap Croatia dengan hantaran jauh."




"Apa yang mereka lakukan adalah penting untuk mendominasi bahagian tengah. Sekiranya anda memenangi pertarungan di bahagian itu, ia meningkatkan peluang anda untuk memenangi perlawanan.

"Gandingan Phillips dan Rice sangat bagus, hari yang sangat baik untuk England.

"Pemain tengah moden harus gemar mara ke depan. Apa yang saya gemari mengenai gol England adalah bahawa pemain tengah menghidu sedikit ruang lalu menyusup ke arahnya. Bola sepak boleh menjadi permainan yang mudah.

"Ia juga merupakan satu jaringan yang sangat bermakna buat Sterling berdasarkan kritikan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa bulan terakhir. Tetapi dia tidak pernah mengecewakan Gareth.

"Apabila anda memenangi perlawanan, ia membuktikan keputusan yang anda adalah tepat. Sekiranya mereka tewas mahupun seri hari ini, semua tumpuan akan terarah kepada Gareth. Tetapi ketika anda memenangi perlawanan, segala pendekatannya tidak akan menjadi masalah," katanya lagi.