Euro 2020: Ronaldo selamatkan kempen Portugal selepas ikat Perancis

Muzaffar Musa
Jun 24, 2021 01:07 MYT
PORTUGAL 2 PERANCIS 2
Cristiano Ronaldo menyamai rekod Ali Daei selaku penjaring gol terbanyak di peringkat antarabangsa selepas dua jaringannya membantu Portugal mengikat Perancis 2-2, sekali gus mara ke pusingan kalah mati Euro 2020 awal pagi tadi.
Ronaldo menjaringkan sepakan penalti pertama daripada tiga yang diberikan pengadil dari Sepanyol, Mateu Lahoz, di Arena Puskas tetapi bekas gandingannya di Real Madrid, Karim Benzema, kembali mengikat kedudukan buat juara dunia, Perancis, juga menerusi sepakan penalti pada penghujung babak pertama.
Benzema kemudian meletakkan Perancis di depan hanya selepas dua minit perlawanan bersambung. Penyerang veteran itu memanfaatkan hantaran jarak jauh Paul Pogba sebelum mengatasi Ruben Dias dan mempamerkan penyudah tenangnya.
Di peringkat itu, juara bertahan, Portugal, berada di ambang penyingkiran tetapi Ronado muncul penyelamat negaranya selepas sejam permainan apabila menyudahkan sepakan penalti keduanya susulan insiden bola terkena tangan Jules Kounde.
Dengan jaringan itu, Ronaldo turut menyamai rekod gol terbanyak peringkat antarabangsa yang dahulunya hanya dipegang oleh legenda Iran, Ali Daei, dengan 109 gol.
Selaku juara Kumpulan F, Perancis akan berdepan Switzerland di Bucharest manakala Portugal, yang menamatkan saingan peringkat kumpulan itu di tangga ketiga, akan bertemu Belgium di Seville minggu depan.

? All-time top international goalscorers: ⚽️1⃣0⃣9⃣ Ali Daei ?? ⚽️1⃣0⃣9⃣ Cristiano Ronaldo ?? #EURO2020 pic.twitter.com/NRx7rCLqMC

— UEFA EURO 2020 (@EURO2020) June 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Cristiano Ronaldo #Karim Benzema #Portugal #Perancis #EURO 2020