Bintang dan kapten pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo, mengucapkan terima kasih kepada rakan senegaranya kerana membantu untuk mengatasi Michel Platini untuk menjadi pencetak gol terbanyak sepanjang zaman Kejuaraan Eropah dengan kemenangan 3-0 ke atas Hungary, awal pagi tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi Kumpulan F untuk mengatasi Platini -- yang meledak kesemua sembila gol dalam Euro edisi 1984 -- untuk ke puncak carta penjaring kejohanan itu.

Dia menambah jaringan dalam masa tambahan selepas Portugal, membuka jaringan menerusi Raphael Guerreiro pada minit ke-84 di Budapest, menjadi pasukan pertama dalam sejarah Euro meledak tiga gol dalam 10 minit terakhir perlawanan.



Ronaldo turut menjadi pemain pertama bermain dan menjaringkan gol dalam lima edisi Kejuaraan Eropah dan kini meletak sasaran untuk ke tahap yang lebih tinggi, penyerang Juventus itu hanya ketinggalan tiga untuk mengatasi rekod penjaring dalam aksi antarabangsa yang dipegang oleh Ali Daei (109 gol).

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu akan berpeluang mendekati catatan Daei ketika Portugal menentang Jerman di Munich dalam aksi kumpulan seterusnya Sabtu ini.

Bercakap selepas tamat perlawanan, Ronaldo berkata, "Ia amat penting untuk menang. Kami berdepan perlawanan yang sukar.

"Hungary bertahan dengan baik selama 90 minit. Kami berjaya menjaringkan tiga gol dan saya sangat berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya menjaringkan dua gol dan memperoleh anugerah pemain terbaik perlawanan.

"Sangat penting untuk melangkah masuk dengan kaki kanan untuk memberikan keyakinan. Sekarang kami harus terus ke hadapan, terus maju. Kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan berikutnya."