Cristiano Ronaldo kini merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Kejohanan Eropah selepas meledakkan dua gol ketika Portugal menewaskan Hungary 3-0 dalam perlawanan pertama Euro 2020 awal pagi tadi.

Ronaldo turun beraksi dalam kejohanan itu dengan menyamai rekod jaringan legenda Perancis, Michel Platini, tetapi gol penaltinya di Budapest memastikan dia menjadi pemegang rekod penjaring gol terbanyak sebelum melebarkan rekod itu kepada 11 jaringan dalam waktu kecederaan.

Apa yang membezakan, bintang Juventus itu mencipta rekod berkenaan menerusi penampilannya yang ke-22 dalam Kejohanan Eropah manakala Platini hanya memerlukan lima perlawanan dalam Euro 84 untuk menjaringkan kesemua sembilan golnya.

Dengan dua jaringan terbarunya itu, Ronaldo turut berpeluang untuk memecahkan beberapa rekod lain dalam kejohanan itu.

Dia kini hanya dibezakan satu gol dengan Miroslav Klose (19) untuk menjadi pemain Eropah yang menjaringkan gol terbanyak dalam Piala Dunia dan Euro.

Dia juga kini hanya ketinggalan tiga jaringan untuk menyamai rekod dunia 109 gol di peringkat antarabangsa milik legenda Iran, Ali Daei, yang melakukannya dalam tempoh 13 tahun sejak 1993.

Sebagai rekod, Ronaldo juga menjadi pemain pertama beraksi dan menjaringkan gol dalam lima edisi Euro berbeza.