SERBIA 1 SCOTLAND 1
(Scotland mara dengan penentuan penalti 5-4)

Andy Robertson tidak pernah berasakan begitu beremosi selepas Scotland meraih kejayaan ke atas Serbia menerusi penentuan penalti sekali gus mengesahkan tempat dalam Euro 2020.


Ryan Christie meletakkan Scotland di depan pada minit ke-52 dalam perlawanan play-off di Belgrade itu tetapi pemain gantian, Luka Jovic, menyamakan kedudukan pada masa kecederaan untuk mengheret ke babak masa tambahan.

David Marshall kemudian menafikan percubaan Nemanja Gudelj pada masa tambahan sebelum menepis rembatan Aleksandar Mitrovic untuk menghantar Scotland ke kejohanan utama sejak Piala Dunia 1998.

Robertson, yang memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) bersama Liverpool, berasa terharu selepas skuad bimbingan Steve Clarke itu menempah tiket Kumpulan D bersama-sama England, Croatia dan Republik Czech.

"Saya tidak dapat merumuskannya. Ada begitu banyak emosi dalam permainan dan kemudian kami menghampiri kelayakan sebelum pihak lawan akhirnya menyamakan kedudukan," katanya kepada Sky Sports.

"Kami perlu berjuang dalam masa tambahan, itulah yang kami lakukan. Dalam penentuan penalti, ia peluang sama rata dan terpulang kepada pemain untuk menyerap rasa gemuruh itu dan mereka berjaya melakukannya.

"Kami telah mara sejauh ini dengan skuad ini jadi saya mahu puji mereka memandangkan mereka telah melalui banyak kritikan dan perkara negatif. Kami akan tetap terus bersama dan berjuang.

"Saya amat berharap semua orang di rumah dapat melihat sisi positif ini kerana kami benar-benar gembira. Saya begitu berharap bahawa dalam tempoh yang sangat sukar ini, kami mampu memberikan senyuman buat ramai orang.

"Ini detik paling beremosi yang saya pernah alami selepas perlawanan tetapi sekarang kami boleh mula menghitung musim panas yang akan datang."



Robertson beraksi dengan rasa tidak selesa di bahagian kiri kirinya dalam masa tambahan, justeru boleh mencetuskan kegusaran kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang berdepan krisis kecederaan pertahanan di Anfield.

Ketua pasukan Scotland itu terlepas kempen hujung musim lalu akibat masalah hamstring di kaki kirinya.

"Sepatutnya selepas itu giliran saya mengambil tendangan penalti berkenaan atau menjadi pemain yang ketujuh menyepaknya tetapi saya mula berdepan masalah hamstring dalam masa tambahan babak kedua.

"Saya berasa sedikit kejang, lebih-lebih ia melibatkan kaki kiri jadi saya agak bimbang ia bertambah buruk," katanya lagi.