Eden Hazard bersikap realistik terhadap kecederaan yang dialami dua tahun bersama Real Madrid, ketika membuat persiapan buat pertama kali menghadapi Euro 2020.

Pengendali Belgium, Roberto Martinez, mengesahkan Hazard, yang hadir sebagai pemain gantian dalam perlawanan pembukaan Belgium -- menang ke atas Russia dan Denmark -- akan turun dalam kesebelasan utama bertemu Finland di St Petersburg.

Hazard membuat lorongan buat jaringan kemenangan Kevin De Bruyne ke atas Denmark, menjadikan assist yang kelima dalam tujuh penampilan bersama Belgium di Euro.

Pemain berusia 30 tahun itu menunjukkan kilauan kualitinya, selepas mengalami kecederaan ketika bersama di bumi Sepanyol. Sepanjang musim 2020-21, Hazard sekadar beraksi 896 minit dalam semua pertandingan, menjadikan 21 penampilan secara keseluruhan.

Walaupun Bekas bintang Chelsea itu menegaskan dia masih memiliki kepercayaan penuh terhadap kebolehannya, dia mengakui kecederaan telah mulai menjejaskan prestasinya.

"Saya tidak pernah meragui kualiti saya, tetapi adakah saya cergas 100 peratus untuk Kejuaraan Eropah akan menjadi persoalan," kata Hazard.

"Saya patah buku lali tiga kali, ia tidak akan jadi sama seperti 10 tahun lalu. Tetapi saya tahu bahawa ketika saya dalam keadaan yang baik, saya dapat membuktikan diri saya di oadang dan itulah yang sedang saya jalankan sekarang.

"Saya belum 100 peratus, tetapi saya sudah bersedia untuk memulakan. Tetapi itulah perancangannya, untuk meningkatkan prestasi saya sedikit demi sedikit. Sangat penting untuk berada layak ke peringkat kalah mati. Jadi saya perlu berada dalam tahap terbaik."