Poland akan menyandarkan harapan mereka kepada sentuhan berbisa Robert Lewandowski Euro 2020 ketika menghadapi Slovakia dalam Kumpulan E, tengah malam esok.

Dalam 11 perlawanan pusingan akhir terdahulu, Poland gagal merobek gawang lawan lebih daripada sekali selain sinonim membuat permulaan yang perlahan.

Kemenangan 1-0 ke atas Ireland Utara pada Euro 2016 merupakan satu-satunya kemenangan mereka dalam sembilan aksi pembukaan kempen, manakala meraih empat seri dan empat kekalahan.

Arkadiusz Milik menjaringkan gol kemenangan di Nice, lima tahun lalu, tetapi penggempur berusia 27 tahun itu berputih mata apabila dibayangi kecederaan lutut minggu ini sekali gus namanya diketepikan.




Pengurus Poland, Paulo Sousa, bagaimanapun memilih untuk tidak memanggil penggantinya sambil meletakkan harapan menggunung terhadap bintang Bayern Munich, Lewandowski.

Pemain berusia 32 tahun itu memecah rekod lama Bundesliga milik Gerd Muller dengan menjaringkan 41 gol hanya dalam 29 perlawanan liga musim ini -- keseluruhan 48 jaringan dalam 40 penampilan bersama Bayern sepanjang musim 2020-21.

"Ini adalah satu cabaran besar, bukan hanya saya tetapi seluruh pasukan," kata bek tengah Lech Poznan, Lubomir Satka -- yang akan ditugaskan untuk mengekang Lewandowski -- kepada UEFA.com

"Saya harap rakan-rakan lain dapat membantu saya."

Suatu ketika dulu, peranan itu akan menjadi tugas Martin Skrtel dan bekas pertahanan Slovakia dan Liverpool berkenaan optimis rakan senegaranya tersebut mampu melepasi ranjau peringkat kumpulan yang turut dihuni Sepanyol dan Sweden.

"Segalanya mungkin," katanya kepada SPORT.

"Saya tidak mahu membuat andaian tetapi jika kami berada di kedudukan kedua teratas di samping Sepanyol maka ia sudah cukup bagus."