Jordan Pickford menjadi penjaga gol pertama dalam sejarah merekodkan lima perlawanan tanpa bolos dalam kesemua lima aksi pertama Kejohanan Eropah sebaik England menewaskan Ukraine 4-0 awal pagi tadi.

Harry Kane menjaringkan gol berganda yang mengapit tandukan gemilang Harry Maguire sebelum Jordan Henderson turut menemui jaringan antarabangsa pertamanya -- daripada 62 penampilan dengan England -- untuk memastikan kemenangan bergaya mereka dalam penentuan suku akhir di Rome itu.

England kini akan kembali ke Stadium Wembley bagi perlawanan separuh akhir menentang Denmark, yang menewaskan Republik Czech dalam satu lagi perlawanan suku akhir, awal pagi Khamis ini untuk memburu final pertama Kejohanan Eropah sejak 1966.

Ketika jentera serangan England kelihatan kian serasi, bahagian pertahanan mereka pula mempamerkan keampuhan untuk kini tidak pernah dibolosi dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Ini merupakan kali pertama England tidak dibolosi dalam tempoh selama itu, di mana secara keseluruhannya, mereka tidak pernah bolos sepanjang 622 minit permainan.

Lima daripada perlawanan tanpa bolos itu dilakukan dalam Euro 2020 -- tiada pasukan lain pernah merekodkan lima perlawanan tanpa bolos dalam lima aksi pertama Kejohanan Eropah itu.

Pickford, yang menghadapi kesukaran bersama Everton sepanjang musim 2020-21, tidak pernah ketinggalan sebarang minit sepanjang rekod itu.

Selepas mempamerkan aksi kurang konsisten di peringkat kelab, ramai mempertikaikan pemilihan Pickford sebagai benteng terakhir England.

Bagaimanapun, pengurus England, Gareth Southgate, tetap menaruhkan kepercayaannya buat bekas penjaga gol Sunderland itu, yang melakukan 42 aksi menyelamat (termasuk hadangan) sepanjang Euro 2020.

Empat daripada aksi menyelamat itu dilakukannya dari dalam kawasan penalti, termasuk percubaan Roman Yaremchuk awal pagi tadi, manakala lima lagi merupakan percubaan jarak jauh.

Pemain berusia 27 tahun itu akan berdepan satu lagi tugas getir menentang Denmark, yang telah menjaringkan 11 gol.

Hanya Sepanyol -- yang akan menentang Itali dalam satu lagi perlawanan separuh akhir -- memiliki rekod lebih baik dengan 12 gol.