Paul Pogba menegaskan bahawa Perancis perlu membiasakan diri dengan status pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2020 selepas mengetuai pasukan itu mendominasi pertemuan dengan Jerman awal pagi tadi.

Gol sendiri Mats Hummels memberikan naib juara edisi 2016, Perancis, gol tunggal perlawanan untuk mengatasi Jerman 1-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan F itu di Madrid untuk Les Bleus kelihatan berpeluang cerah melayakkan diri ke pusingan 16.

Perancis -- yang menamatkan perlawanan itu dengan hanya satu percubaan tepat -- berpeluang untuk merekodkan jaringan lebih besar tetapi gol daripada Kylian Mbappe dan Karim Benzema, kedua-duanya dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Malang buat Jerman apabila skuad kendalian Joachim Low itu tewas buat kali pertama dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Eropah.

Gol kemenangan itu hadir secara tiba-tiba dimana Hummels tertolak masuk bola daripada hantaran lintang Lucas Hernandez.

Pogba mencetuskan jaringan itu di mana hantaran bijaknya menemui pertahanan kiri berkenaan dan pemain tengah Manchester United itu turut mempamerkan persembahan terbaiknya dengan melakukan 52 hantaran termasuk 31 dalam kawasan Jerman untuk menjadi pemain Les Blues paling banyak melakukannya dalam perlawanan itu.

Dengan pasukan juara dunia itu diletakkan sebagai pilihan utama untuk menjuarai edisi kali ini -- selepas tewas kepada Portugal dalam final di laman sendiri lima tahun lalu -- Pogba mengakui Perancis perlu menepati status berkenaan.

"Prestasi keseluruhan pasukan ini merupakan perkara paling penting. Tanpa mereka, saya tidak akan menjadi berkesan seperti ini," kata Pogba kepada M6.

"Mereka membantu saya, kami semua telah berusaha. Kemenangan ini untuk semua orang, termasuk mereka yang berada di bangku pemain dan tempat duduk penonton yang menyokong kami.

"Semua orang bercakap mengenai status kami sebagai pasukan pilihan, jentera serangan kami, kumpulan maut ini.

"Kami perlu menerima status ini dengan rendah diri," katanya.

Seterusnya, Perancis akan berdepan Hungary di Budapest manakala Jerman pula akan menghadapi juara bertahan, Portugal, di Munich hujung minggu ini.