Pepe menggesa Portugal agar menunjukkan keinginan yang besar untuk membenam juara dunia, Perancis, sama seperti yang ditunjukkan Jerman ketika menewaskan mereka hujung minggu lalu.

Juara bertahan, Portugal, berisiko untuk menamatkan kempen Euro 2020 sekadar di peringkat kumpulan dan perlu mendapatkan keputusan positif ketika menentang skuad juara dunia kendalian Didier Deschamps itu awal pagi esok walaupun kekalahan tipis masih akan melayakkan mereka sebagai salah satu daripada empat pasukan di tangga ketiga terbaik.

Permulaan cemerlang mereka sewaktu menewaskan Hungary 3-0 dalam perlawanan pembukaan terbantut apabila tewas 2-4 kepada Jerman, di mana Portugal tidak dapat mengatasi taktikal 3-4-3 dan corak menyerang Joachim Low .

Pertahanan kiri Jerman, Robin Gosens, langsung tidak dapat dikekang pertahanan kanan Portugal, Nelson semedo, dan berhasil melakukan satu bantuan jaringan dan menjaringkan satu gol selepas waktu rehat untuk pasukan Selecao itu menjadi juara bertahan pertama dibolosi empat gol dalam satu perlawanan.

Bagaimanapun, kegembiraan yang dipamerkan pemain Atalanta, Gosens, ketika Jerman memenangi sepakan penjuru menarik perhatian pertahanan tengah Portugal, Pepe.

"Ketika menentang Jerman, saya dapat melihatnya dengan amat jelas. Apabila pertahanan sayap kiri itu memperoleh sepakan penjuru, mereka amat gembira.

"Mereka sedar betapa besar keinginan mereka untuk menewaskan kami. Kami perlu mempunyai keinginan yang sama seperti Jerman seandainya mahu melayakkan diri dan mencapai matlamat kami.

"Apabila menang, kami menang bersama. Apabila kami kalah, kami kalah besama. Itulah yang membuat kami amat kuat, secara sekumpulan.

"Kami perlu merapatkan barisan kami bersama-sama, kami perlu menyokong sesama sendiri.

"Sepanjang beberapa tahun lalu, kami telah menunjukkan siapa Portugal yang sebenar.

"Kami mempunyai pemain yang berkualiti dan kesemuanya bekerjasama," katanya.