Penyerang Austria, Marko Arnautovic, akan terlepas perlawanan menentang Belanda dalam Euro 2020 awal pagi esok selepas digantung satu perlawanan gara-gara insiden melibatkannya ketika menewaskan Macedonia Utara, Isnin lalu.

Arnautovic terpaksa ditarik oleh ketua pasukannya, David Alaba, ketika meraikan golnya sewaktu kemenangan 3-1 Austria dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C itu di National Arena, Bucharest.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang berdarah Serbia, dituduh berkelakuan menghina secara perkauman ke atas pemain Macedonia Utara, Egzon Bejtulai dan Ezgjan Alioski, yang berbangsa Albania.

Arnautovic kemudian memohon maaf atas kelakuannya itu tetapi menafikan ada menggunakan perkataan bersifat perkauman.

Persatuan Bolasepak Macedonia menyerahkan surat rasmi kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) bagi menggesa tindakan paling berat susulan kelakuan yang disifatkan sebagai "ledakan nasionalis" terhadap Ezgjan Alioski.

UEFA melancarkan siasatan mereka dan membuat keputusan untuk menggantung Arnautovic sebanyak satu perlawanan kerana kelakuan "menghina pemain lain" dan ia bermakna pemain itu tidak akan terlibat dalam perlawanan menentang Belanda di Arena Johan Cruijff.