Pedri dan Unai Simon antara enam bintang Sepanyol dalam Euro 2020 yang menerima panggilan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih Sepanyol B-21, Luis de la Fuente, yang akan mengemudi pasukan remaja dalam temasya itu dari 23 Julai -8 Ogos depan, mengumumkan senarai awal 22 pemain sebelum memuktamadkan 18 tonggak pilihannya.

Pemain tengah Barcelona, ​​Pedri, sedang mengukir nama dalam pasukan senior di bawah tunjuk ajar Luis Enrique dalam Kejohanan Eropah itu, manakala penjaga gol Athletic Bilbao, Simon, yang menebus kesilapan besar dalam perlawanan pusingan 16 menentang Croatia, semalam.

Dia dibolosi gol sendiri apabila cuai ketika cuba menampan hantaran ke belakang Pedri sebelum Sepanyol memacu kemenangan 5-3.

Mereka disenaraikan dalam senarai skuad De la Fuente itu di samping bek kanan La Roja, iaitu Eric Garcia, Pau Torres, Dani Olmo dan Mikel Oyarzabal.

Seperti yang dijangka, tiada tempat buat pertahanan veteran, Sergio Ramos, yang melahirkan keinginan mewakili Sepanyol dalam Euro 2020 dan Sukan Olimpik tahun ini.

Ramos, yang akan meninggalkan Real Madrid selepas 16 tahun, berdepan masalah kecederaan sepanjang musim 2020-21.





Sepanyol, yang merupakan pingat emas dalam dalam edisi Barcelona 1992, juga menyenaraikan duo Real Madrid, Dani Ceballos dan Marco Asensio, termasuk tonggak Valencia, Carlos Soler (Sevilla), Bryan Gil dan Mikel Merino (Real Sociedad).

Kemenangan ke atas Croatia dalam Euro 2020 semalam telah membawa Sepanyol ke suku akhir bagi berhitung dengan Switzerland, yang akan dilangsungkan di St Petersburg, tengah malam Sabtu ini.

Sekiranya Sepanyol mara ke final, maka mereka akan beraksi di Stadium Wembley pada 12 Julai depan.

Kempen Sepanyol dalam Sukan Olimpik pula akan bermula berdepan Mesir di Sapporo Dome dalam Kumpulan C pada 22 Julai, sehari sebelum upacara pembukaan.

De la Fuente menjelaskan bahawa dia tidak meragui pemilihan Simon meskipun melakukan kesilapan dalam kejohanan benua ketika ini.

"Saya kenal Unai Simon. Saya tahu kekuatan dan integriti dimilikinya," kata De la Fuente.

"Semalam dia mengalami satu reaksi luar biasa selepas berdepan saat-saat sukar."

Senarai awal Sepanyol:

Alvaro Fernandez (Huesca), Unai Simon (Athletic Bilbao)), Alex Domínguez (Las Palmas); Mingueza (Barcelona), Jesus Vallejo (Granada), Eric García (Barcelona), Pau Torres (Villarreal), Oscar Gil (Espanyol), Juan Miranda (Real Betis); Marc Cucurella (Getafe), Jon Moncayola (Osasuna), Martin Zubimendi (Real Sociedad), Dani Ceballos (Real Madrid), Mikel Merino (Real Sociedad), Carlos Soler (Valencia), Pedri (Barcelona); Bryan Gil (Sevilla), Marco Asensio (Real Madrid), Dani Olmo (RB Leipzig), Mikel Oyarzabal (Real Sociedad, Rafa Mir (Wolves), Javi Puado (Espanyol).