Olivier Giroud menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada karier antarabangsanya bersama Perancis selepas Euro 2020 sambil berkata dia masih mempunyai "nafsu seperti pemain berusia 20 tahun".

Penyerang Chelsea itu, yang akan genap berusia 35 tahun pada September depan, kelihatan sukar merebut tempatnya dalam kesebelasan utama Les Bleus susulan kepulangan mengejutkan Karim Benzema selepas enam tahun diketepikan skuad kebangsaan itu.

Dia merupakan pemain simpanan yang tidak diturunkan ketika Perancis menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F dan hanya beraksi selama 14 minit ketika pasukannya terikat 1-1 dengan Hungary hujung minggu lalu.

Giroud sebelum ini berkata Euro 2020 mungkin menjadi kempen terakhirnya bersama Perancis tetapi dia kini mengisytiharkan bahawa masih banyak yang mahu ditaburkannya buat skuad kebangsaann itu.

"Saya masih belum selesai, masih jauh daripada itu. Percayalah kata saya, orang tua ini masih belum mati," kata Giroud, yang merupakan salah seorang tonggak utama Perancis ketika menjuarai Piala Dunia 2018, kepada Le Figaro.

"Saya hampir berusia 35 tahun tetapi mempunyai nafsu seperti pemain berusia 20 tahun. Saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk pasukan ini.

"Pasukan Perancis mempunyai jentera serangan yang luar biasa tetapi saya ada kelebihan kerana tiada pemain lain mempunyai profil seperti saya. Saya berada di sini untuk memberikan respons dan memberikan apa yang saya ada.

"Saya mempunyai keinginan dan jika ada pemain muda yang mahu menyingkirkan saya, mereka juga perlu bersedia," katanya.