Aaron Ramsey menyindir bahawa dia mungkin akan kembali menjalani tugas mengambil sepakan penalti untuk Wales setelah Gareth Bale gagal menyempurnakannya ketika merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Turki.

Wales kini di ambang layak ke pusingan 16 Euro 2020 hasil jaringan daripada Ramsey dan Connor Roberts di Baku awal pagi tadi.

Bale melakukan lorongan buat kedua-dua jaringan, menghasilkan lima peluang (rekod baru bagi saingan Euro dalam satu perlawanan sejak 1980) dan dia sendiri turut menghasilkan lima percubaan -- secara keseluruhan, terdapat 34 peluang sepanjang perlawanan, paling banyak dalam mana-mana perlawanan dalam kejohanan setakat ini.

Bagaimanapun, kapten Wales itu gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61, selepas Bale melakukan sepakan liar melepasi gawang.

Dia sekaligus menjadi pemain pertama yang melakukan sepakan tanpa terkena rangka gawang ketika mengambil sepakan penalti dalam saingan Euro sejak Raul ketika mewakili Sepanyol bertemu Perancis pada tahun 2000.

Ditanya mengenai kegagalan Bale menyempurnakan jaringan, Ramsey berseloroh kepada BBC Sport, "Dia cuba melakukan jaringan di bucu gawang. Mungkin selepas ini saya akan mengambil sepakan penalti!"

"Ia merupakan saat penting tetapi kami tidak panik, kami terus bermain dan melakukan yang terbaik," katanya lagi.

"Itulah yang telah kami usahakan sejak beberapa tahun yang lalu, berusaha sebaik mungkin dan ia telah dipamerkan dalam perlawanan ini."

Sementara itu, Bale pula berkata, "Ya, saya gagal menyempurnakan sepakan penalti tetapi saya terus mempamerkan perwatakan yang berjaya membantu pasukan, kami amat memerlukan kemenangan dan jaringan kedua itu merupakan penyeri aksi cemerlang pasukan."