Perancang Jerman, Thomas Muller, berharap kemarau jaringan penyerang England, Harry Kane, dilanjutkan sedikit lagi.

England memperbaharui perseteruan dengan Jerman Selasa ini dalam aksi pusingan 16 Euro 2020 di Wembley ketika Kane berdepan masalah sentuhan jaringan bersama Three Lions.

Kane turun dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan D England, tetapi sekadar melakukan satu percubaan tepat ke sasaran.

Penyerang berusia 27 tahun itu menuju ke kejohanan ini dengan rekod cemerlang, meledak gol terbanyak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) (23) dan melakukan assist terbanyak (14) namun bergelut ketika ini.

"Penyerang hebat sangat cemerlang ketika bersabar," kata Muller dalam sidang media.

"Seorang penyerang selalu menunggu peluangnya. Dia biasanya memiliki sentuhan paling sedikit dengan bola, tetapi akan dipaparkan dengan gambar terbesar dalam surat kabar setelah tamat perlawanan.

"Saya tidak tahu mengapa dia tidak masuk ke dalam kedudukan menjaringkan gol yang biasa dilakukannya. Bagi kami, ia tidak akan menjadi masalah sama sekali jika perbincangan ini diteruskan sehingga tamat perlawanan kami nanti.

"Kami dalam pusingan 16. Kami mengatasi England dalam Piala Dunia 2010. Itu tiada kena-mengena dengan apa yang berlaku dalam perlawanan akan datang, kami tidak sabar untuk bertemu mereka."