Jose Mourinho mendedahkan bahawa dia "berdoa" dan "menangis" sebaik melihat Christian Eriksen rebah ketika mewakili Denmark menentang Finland dalam Euro 2020 awal pagi semalam.

Pemain tengah Inter Milan itu mengalami serangan jantung dan tumbang di atas padang sebelum diberikan bantuan, seperti yang disahkan doktor pasukan Denmark, Morten Boesen.

Eriksen diberikan bantuan kecemasan (CPR) oleh pegawai kesihatan dalam babak pertama perlawanan Kumpulan B itu selepas rebah ke tanah tanpa disentuh sebarang pemain di sekelilingnya -- perlawanan itu ditunda selama hampir dua jam sebelum disambung semula selepas bekas bintang Tottenham itu disahkan telah sedar di Hospital, di mana Finland kemudian memperoleh kemenangan 1-0.

Bekas pengurus Tottenham, Mourinho, yang membimbing Eriksen sebelum pemain kebangsaan Denmark itu berhijrah ke Inter Milan pada 2020, berkata dia berdoa dan menangis mengenangkan nasib bekas anak buahnya itu.

"Saya tidak dapat berhenti berfikir mengenai apa yang berlaku," kata Mourinho kepada talkSPORT.

"Saya fikir ia akan menjadi hari untuk diraikan dan bukannya untuk bersedih.

"Ia lebih penting daripada bola sepak tetapi pada masa sama, saya percaya ia telah menunjukkan nilai-nilai murni dalam bola sepak.

"Kasih sayang, solidariti, semangat kekeluargaan. Ia bukan hanya keluarganya, ia mengenai seluruh keluarga bola sepak. Bola sepak menyatukan setiap orang.

"Saya berdoa semalam, saya menangis semalam tetapi berapa juta orang lagi melakukannya di seluruh dunia? Saya percaya ramai kerana bola sepak dapat menyatukan semua orang.

"Semalam, untuk satu sebab yang tidak sepatutnya, bola sepak telah menyatukan semua orang. Pada akhirnya kita dapat meraikan bahawa Christian masih hidup.

"Ia berita yang amat baik, saya kira ia satu momen untuk diraikan," katanya.