Kylian Mbappe kecewa dengan komen daripada Olivier Giroud mengenai kurangnya kerjasama daripadanya tetapi menegaskan situasi di antara kedua-dua penyerang itu tidak akan mengganggu persiapan Perancis dalam memburu kejuaraan Euro 2020.

Pasukan juara dunia itu akan memulakan kempen Eropah mereka dengan menentang seteru, Jerman, di Arena Allianz, Munich awal pagi Rabu ini.

Les Blues meraih kemenangan 3-0 ke atas Wales dan Bulgaria dalam aksi pemanas badan di mana Giroud menjaringkan dua gol ke atas Bulgaria selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Bagaimanapun, penyerang Chelsea itu -- yang kini telah mengumpulkan 46 gol antarabangsa dan hanya ketinggalan lima di belakang Thierry henry dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya -- berkata dalam sidang media selepas perlawanan itu bahawa dia tidak mendapat sokongan yang mencukupi daripada rakan sepasukannya.

Kenyataannya itu kelihatan ditujukan buat Mbappe -- di mana mereka hanya melengkapkan satu hantaran ketika beraksi bersama di atas padang -- dan pemain berusia 22 tahun berkenaan mengambil peluangnya untuk memberikan repsons selepas mengambil pendekatan berdiam diri sebelum ini.

"Kami sudah bercakap mengenainya, kami sudah berbincang, ia menimbulkan pertikaian, semua orang tahu apa yang berlaku.

"Saya sedikit terkesan tetapi kami tidak akan memperbesarkannya.

"Pasukan ini akan kekal menjadi keutamaan. Kami fokus kepada objektif yang sama," kata Mbappe.

Ditanya lagi mengenai hubungannya dengan Giroud, penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjelaskan bahawa dia tidak gembira dengan cara rakan gandingannya itu bersuara kepada media daripada meluahkan kepadanya di bilik persalinan selepas aksi persahabatan itu.

"Apa yang dikatakannya tidak mengganggu saya lebih daripada itu. Saya juga seorang penyerang dan saya juga berasakannya sebanyak 365 kali dalam satu perlawanan.

"Saya mengucapkan tahniah kepadanya dalam bilik persalinan, dia tidak berkata apa-apa kepada saya dan kemudian saya mendengarnya daripada pihak media. Dia bukanlah bercakap sesuatu yang buruk. Ia lebih kepada dia meluahkannya kepada umum. Saya lebih selesa jika dia datang kepada saya dan bersikap lebih terbuka dalam bilik persalinan," tambahnya.