Penyerang Manchester United dan England, Marcus Rashford , mungkin menjalani pembedahan bahu selepas Euro 2020 berakhir.

Rashford beraksi dalam kesakitan sejak mengalami kecederaan otot bahu kirinya ketika menentang Arsenal pada November lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang meledak 21 gol dan mencipta 15 bantuan jaringan dalam semua perlawanan bersama The Red Devils musim lalu, mungkin memerlukan pembedahan sebelum sepak mula kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021-22.

Rashford berkata: "Ini soal sama ada perlu dibedah atau tidak.

"Saya tidak yakin 100 peratus apakah saya perlu melakukannya, jadi saya akan akur.

"Saya akan terus bertahan di sini (dalam Euro 2020), kemudian saya mempunyai cuti beberapa minggu untuk hanya berehat dan memutuskan apa yang akan dilakukan. "

Tambahnya: "Doktor belum memaklumkannya. Puncanya sebab saya tidak pasti mengenai musim akan datang dan sebelum saya bersama England.

"Saya juga sedar mungkin tidak perlu menjalani pembedahan. Kalau saya melakukannya pun, saya tidak tahu berapa lama ia memerlukan masa untuk sembuh.

"Saya memberi tumpuan sepenuhnya di sini. Apabila kejohanan ini sudah selesai, barulah saya akan mengemukakan soalan (bagi mendapatkan kepastian) ."




Rashford hanya tampil tiga kali sebagai pengganti dalam Euro 2020 setakat ini dan sedar masih banyak lagi yang boleh ditawarkan sebelum pertembungan pusingan 16 dengan Jerman di Wembley, Rabu depan.

"Jelas sekali saya tidak menunjukkan prestasi terbaik dan saya tahu sejauh mana prestasi sebenar sendiri, katanya lagi.

"Apa pun yang terjadi, itu tidak akan menjadi halangan kerana ia sudah terjadi sejak awal musim lagi. Saya berjaya melewati musim ini bersama United.

"Saya telah terlibat dalam 36 gol jadi saya tidak akan menyorot semula tahun ini dengan mengatakan 'saya sepatutnya berehat daripada melakukan banyak perkara.

"Itu bukan cara saya melihat sesuatu. Saya hanya mahu bersedia untuk setiap perlawanan."