Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, enggan memberikan sebarang komen mengenai masa depannya bersama pasukan itu selepas tersingkir di tangan Itali dalam Euro 2020 sambil menegaskan bahawa situasi itu "masih terlalu awal".

Itali menempah tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Belgium 2-1 di Munich awal pagi tadi.

Nicolo Brella dan Lorenzo Insigne meletakkan Itali berkelebihan dua gol pada minit ke-44 sebelum Belgium merapatkan jurang menerusi gol sepakan penalti Romelu Lukaku sebelum waktu rehat.

Walaupun beberapa kali memperoleh peluang, Belgium -- yang merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan itu -- masih gagal menembusi pertahanan Itali untuk skuad Red Devils berkenaan terkandas dalam suku akhir Kejohanan Eropah, sama seperti edisi 2016.

Dengan kegagalan itu, tumpuan segera teralih ke arah masa depan Martinez, yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan itu sehingga Piala Dunia Qatar 2022 tetapi sudah mula dikaitkan untuk kembali menjadi pengurus di peringkat kelab.

"Amat jelas ini adalah momen yang benar-benar sukar untuk membahaskan selain daripada kekalahan ini dan bahawa kami telah tersingkir daripada Euro.

"Seperti yang saya katakan, buat masa ini, ia masih terlalu awal. Dan saya tidak mahu berkata-kata yang akan terlihat seperti beremosi.

"Buat masa ini, saya hanya mahu mengkaji semula perlawanan kami dalam kejohanan ini dan saya boleh katakan bahawa pemain kami tidak melakukan apa-apa kesilapan. Ia berlaku sebaliknya.

"Mereka telah melakukan yang termampu untuk membawa kami sejauh mungkin (dalam Euro).

"Dan kini adalah masa untuk menganalisis dan menilai tetapi buat masa ini, perasaannya adalah mengenai kekecewaan dan kesedihan. Malangnya, hanya itulah yang ada dalam fikiran saya," katanya.