Roberto Mancini berharap dapat menebus kehampaannya bersama skuad kebangsaan Itali apabila membimbing pasukan itu menentang England dalam final Euro 2020 awal pagi esok.

Mancini tidak dapat dinafikan merupakan penyerang berkemahiran dan pemimpin skuad Sampdoria ketika bergelar pemain tetapi kehadirannya kerap dibayangi permain seperti Roberto Baggio dan Gianfranco Zola dalam skuad Itali -- beberapa insiden ketegangannya dengan jurulatih menyaksikan impiannya di peringkat antarabangsa tidak dapat dipenuhi.

Dia hanya merekodkan 36 penampilan dan menjaringkan empat gol buat Itali dari 1984 hingga 1994 tetapi individu berusia 56 tahun itu dilantik selaku ketua jurulatih Azzurri selepas kegagalan mereka layak ke Piala Dunia 2018, sekali gus berpeluang menebus kehampaannya sewaktu bergelar pemain.

Dengan corak permainan menyerang dan tidak takut untuk mengambil risiko, Mancini akan menggunakan pendekatan sama di Wembley, di mana Itali kelihatan seperti sebuah pasukan yang amat berbeza sejak di bawah kendalian bekas pengurus Inter Milan dan Manchester City itu.

"Saya berpeluang mewakili Itali B-21 dan skuad senior yang amat cemerlang tetapi tidak dapat memenangi Kejohanan Eropah atau Piala dunia 1990, yang selayaknya buat saya," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan final itu.

"Ia momen yang amat penting buat saya kerana saya mewakili Itali.

"Saya benar-benar berharap dapat menikmati pengalaman itu, yang tidak dapat saya rasakan sepanjang bergelar pemain walaupun sebenarnya saya beraksi dalam pasukan Itali yang amat luar biasa," katanya.