Roberto Mancini melaungkan keyakinannya dengan meletakkan sasaran untuk Itali layak ke separuh akhir Euro 2020 bermula awal pagi esok

Azzurri akan membuka tirai kejohanan itu dengan perlawanan menentang Turki di Stadio Olimpico, Rome jam 3.00 pagi esok.

Selepas gagal melayakkan diri dalam Piala Dunia 2018, ia akan menjadi Kejohanan utama pertama Itali sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, dengan mereka masih belum tewas sepanjang 27 perlawanan terakhir, ia menunjukkan bahawa Itali akan menjadi salah sebuah pasukan pilihan dalam kejohanan itu.

Dan ketua jurulatih, Mancini, tidak berminat untuk memperkecilkan peluang pasukannya dengan meletakkan sasaran untuk ke Wembley sebagai empat pasukan terbaik.

"Saya fikir selepas segala yang kami lalui, inilah masanya untuk kembali menguntumkan senyuman," katanya kepada wartawan.

"Itu akan menjadi sasaran kami bulan depan, kami mahu semua orang menikmatinya dan berseronok dengannya. Saya fikir ia akan menjadi 90 minit yang menarik buat semua orang. Kami akan memberikan segala-galanya.

"Perlawanan pembukaan adalah yang paling sukar, lebih-lebih lagi ia merupakan perlawanan pertama dalam kejohanan ini. Kami perlu berasa bebas dan berseronok dengannya, itulah sasarannya.

"Saya amat yakin tiga tahun lalu dan saya lebih yakin hari ini. Kami telah berusaha dengan amat baik, kami memiliki pemain yang cemerlang dan telah membentuk semangat sepasukan yang besar.

"Kami telah berusaha bersama-sama dalam tempoh yang panjang dan menikmatinya dan mahu melaluinya dengan keseronokan. Pada penghujung kejohanan ini, kami mahu layak ke London," katanya.