Roberto Mancini menggugurkan Moise Kean daripada perancangannya menjelang Euro 2020 pada ketika ketua jurulatih Itali perlu mengecilkan senarai 28 pemainnya -- dua lagi pemain lain akan digugurkan selepas ini.

Menjelang tarikh akhir yang ditetapkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) pada tengah malam ini, Mancini perlu mengecilkan jumlah pemain yang dipilihnya pada 17 Mei lalu bagi perlawanan menentang San Marino.

Mereka memenangi perlawanan itu 7-0 kelmarin dan Mancini telah menilai seluruh skuadnya sepanjang seminggu ini bagi mencari pemain terbaik menjelang Kejohanan Eropah itu.

Dia akhirnya mengambil keputusan untuk menggugurkan pemain berusia 21 tahun, Kean.

Kean hilang tempatnya biarpun menjaringkan 19 gol dalam 45 perlawanan musim ini, termasuk dua buat Everton dan 17 daripada 41 penampilan bersama Paris Saint-Germain (PSG), yang disertainya secara pinjaman pada Oktober lalu.

"Keputusan hanya untuk memilih 26 pemain daripada senarai ini amat sukar buat saya," kata Mancini kepada Rai 3.

"Lebih-lebih lagi apabila dua pemain lain perlu digugurkan daripada senarai akhir. Semua pemain layak untuk berada di sana."

Itali akan membuka kempen Kumpulan A, Euro 2020 dengan berdepan Turki di Rome pada 11 Jun ini sebelum berdepan Switzerland (16 Jun) dan Wales (20 Jun).