Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, gembira apabila pasukannya mengekalkan kualiti permainan di tahap tertinggi biarpun melakukan lapan perubahan dalam kesebelasan utamanya ketika menewaskan Wales 1-0 dalam Euro 2020 awal pagi tadi.

Azzurri melangkah ke pusingan 16 dengan rekod sempurna tiga kemenangan daripada tiga perlawanan Kumpulan A dengan menjaringkan tujuh gol tanpa dibolosi sepanjang bertemu Turki, Switzerland dan Wales.

Pemain tengah Atalanta, Matteo Pessina, yang disenaraikan agak lewat bagi menggantikan Stefano Sensi (cedera kelangkang) ke Kejohanan Eropah, menjaringkan gol kemenangan ke atas Wales, sekali gus membuktikan kualiti skuad besar yang dimiliki pasukan itu.

Mancini melakukan rombakan dalam kesebelasan utamanya selepas merakamkan dua kemenangan 3-0 berturut-turut kerana mahu memberikan "lebih kesegaran" buat pasukannya menjelang pusingan kalah mati.

"Saya gemar melihat kami melakukan lapan perubahan dan masih bermain dengan amat baik," kata Mancini dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol dan ia bukan mudah kerana mereka bertahan dengan amat baik tetapi itulah yang membuatkan saya gembira. Setiap seorang pemain saya bermain dengan amat baik."

Itali menyamai rekod 30 perlawanan tanpa kalah seperti yang pernah dilakukan pasukan itu ketika di bawah bimbingan Vittorio Pozzo dari 1935 hingga 1939, di mana skuad kendalian Mancini itu telah memenangi 25 perlawanan dan seri sebanyak lima kali sejak tewas kepada Portugal pada September 2018.

Mereka juga tidak pernah dibolosi sepanjang 11 perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan kekurangan satu lagi aksi tanpa bolos untuk menyamai catatan terbaik dalam sejarah mereka -- 12 perlawanan tanpa bolos dari 1972 hingga 1974.

Mancini menambah: "Saya akan tetap melakukan perubahan seandainya perlawanan ini lebih penting, saya memerlukan kekuatan yang lebih segar dalam perlawanan ini. Kami perlu memberikan mereka beberapa minit.

"Kami mempunyai 26 pemain, kami memerlukan mereka untuk bermain dan memperoleh waktu permainan. Benar, ia kini menjadi sedikit lebih sukar dalam menentukan pilihan.

"Ramai pemain kami yang sudah terbiasa dengan perlawanan besar, amat memalukan jika kami tidak dapat menurunkan sebahagian daripada mereka tetapi apa yang penting, kami dapat berharap kepada ramai pemain kami," katanya lagi.