Switzerland berazam untuk mengatasi Itali untuk buat pertama kali dalam 28 tahun esok dan menghidupkan kembali harapan mereka dalam kempen Euro 2020.

Azzurri berada dalam mutu permainan terbaik ketika mereka membuka kejohanan dengan mengatasi Turki 3-0, melanjutkan rekod cemerlang kepada sembilan kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi sebarang gol.

Switzerland menguasai permainan dalam aksi pembukaan Kumpulan A menentang Wales tetapi tandukan Kieffer Moore membatalkan jaringan pembukaan Breel Embolo di Baku.

Keputusan itu bermakna pasukan Vladimir Petkovic bakal menjadi pasukan pertama dalam sejarah Kejuaraan Eropah seri lima perlawanan berturut-turut sekiranya mereka gagal mengatasi Itali.

Sejarah tidak menyebelahi mereka -- kali terakhir Switzerland mengatsi Itali di Bern dalam kelayakan Piala Dunia pada tahun 1993.

Jurulatih Azzurri, Roberto Mancini, bermain pada hari itu dan berwaspada untuk memandang rendah lawan mereka di Stadio Olimpico, terutama dengan Petkovic yang mempunyai pengalaman dua tahun pengalaman di venue perlawanan semasa mengendalikan Lazio dari 2012 hingga 2014.

"Kami mengetahui Switzerland adalah pasukan yang selalu menimbulkan masalah untuk Itali," kata Mancini. "Mereka berada di kedudukan 10 atau 12 dunia, dan mereka mempunyai jurulatih Vladimir Petkovic yang fasih dengan bola sepak Itali.

"Dalam perlawanan pembukaan mereka, cuaca sangat panas, jadi saya berasa mereka bergelut kerana itu. Kami juga bertemu mereka dalam kelayakan Piala Dunia dan mereka adalah pasukan yang bagus, penuh dengan pemain berbakat, mahir, jadi kami perlu menghasilkan persembahan yang sempurna dan memastikan kami tidak melakukan kesalahan."