Pertahanan sayap England, Luke Shaw, menjaringkan gol terpantas dalam final Kejohanan Eropah ketika pasukannya tewas 2-3 dalam penentuan penalti kepada Itali di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Shaw menemui hantaran lintang Kieran Trippier dan melepaskan sepakan voli yang menewaskan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, untuk meletakkan skuad kendalian Gareth Southgate itu di depan pada awal permainan sebelum Leonardo Bonucci kembali mengikat kedudukan pada minit ke-67 bagi mengheret perlawanan itu sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Ia merupakan jaringan pertama Shaw daripada 16 penampilan buat England dan ia dilakukan dalam tempoh seminit dan 57 saat sebaik wisel permulaan dibunyikan -- mengatasi rekod terdahulu yang dilakukan Chus Pereda buat Sepanyol ketika menentang Soviet Union pada 1964 (05:04).

Ia turut menjadi gol terpantas England dalam Kejohanan Eropah dengan 17 saat lebih cepat berbanding yang dilakukan Alan Shearer ke atas Jerman pada 1996.

Shaw juga memainkan watak utama dalam kemaraan England ke final di laman sendiri dengan menghasilkan tiga bantuan jaringan sebelum mencipta gol terpantas dalam final di London.