Euro 2020: Lukaku menangis lihat Eriksen tumbang

Muzaffar Musa
Jun 13, 2021 01:51 MYT
Romelu Lukaku mengakui bahawa dia menangis dan mendedikasikan aksi cemerlangnya ketika membantu Belgium menewaskan Russia dalam Euro 2020 buat Christian Eriksen selepas rakan sepasukannya di Inter Milan itu tumbang sewaktu mewakili Denmark menentang Finland awal pagi tadi.
Kapten Denmark, Eriksen, memerlukan bantuan kecemasan selepas tumbang di atas padang dalam separuh masa pertama pelawanan Kumpulan B di Stadium Parken.
Pemain tengah itu sedar ketika dikejarkan ke hospital dan akan menjalani pemeriksaan lanjut di Copenhagen selepas berdepan situasi mendebarkan itu, di mana rakan sepasukannya membina tembok perlindungan ketika dia diberikan bantuan kecemasan.
Lukaku menangis ketika menyaksikan perlawanan berkenaan sebelum menjaringkan dua gol ketika Belgium menewaskan Russia 3-0 tidak lama selepas itu.
Penyerang itu menjeritkan "Saya sayang kamu Chris" di depan kamera TV selepas menjaringkan gol pembukaan The Red devils.
Dia berkata kepada beIN SPORTS: "Saya amat gembira dengan kemenangan ini tetapi bagi saya, ia hari yang sukar untuk beraksi kerana minda saya sentiasa bersama rakan sepasukan saya, Christian.
"Saya harap dia sihat dan saya mendedikasikan prestasi ini buatnya.
"Saya banyak menangis kerana saya amat takut. Kami menghadapi banyak momen bersama sepanjang satu setengah tahun ini. Saya menghabiskan lebih banyak masa dengannya berbanding keluarga saya.
"Doa saya buat dirinya, teman wanitanya, dua orang anaknya serta keluarganya," katanya.

First win of the tournament but tonight was about more than football. My friend @ChrisEriksen8, my thoughts are with you and your family ❤️ pic.twitter.com/QK7lGXcxSA

— Toby Alderweireld (@AlderweireldTob) June 12, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Toby Alderweireld turut berasakan perkara sama dengan menciap di Twitter mengenai bekas rakan sepasukannya di Tottenham itu: "Kemenangan pertama dalam kejohanan ini tetapi malam ini adalah sesuatu yang melangkaui bola sepak.
"Rakan saya (Eriksen), doa saya buat anda dan keluarga anda."
#bola sepak #Denmark #Belgium #Christian Eriksen #EURO 2020 #Lukaku #Romelu