Luis Enrique mengesahkan pemain yang sedang dikritik hebat, Alvaro Morata, akan memulakan perlawanan Sepanyol menentang Poland dalam aksi Kumpulan E, Euro 2020 awal pagi esok sambil menegaskan pemain itu berada dalam keadaan minda yang amat positif.

Morata, yang tempoh pinjamannya di Juventus daripada Atletico Madrid dipanjangkan sehingga musim depan, dikritik hebat berikutan prestasi hambarnya ketika Sepanyol terikat 0-0 dengan Sweden dalam perlawanan pertama awal minggu ini.

Pemain berusia 28 tahun itu terlepas peluang terbaik Sepanyol apabila sepakannya tersasar daripada gawang biarpun hanya berdepan penjaga gol lawan, Robin Olsen -- Satu daripada tiga percubaan tidak tepatnya sebelum dikeluarkan pada minit ke-66.

Morata, bagaimanapun, telah menjaringkan tiga gol buat Sepanyol daripada empat penampilan terakhirnya dalam Kejohanan Eropah dan merupakan penjaring terbanyak negaranya dalam kejohanan itu sejak edisi 2016 (16 gol dalam 32 penampilan).

Ketua jurulatih, Luis Enrique, tidak gusar dengan prestasi pemain itu pada ketika Sepanyol sedang memburu kemenangan pertama mereka bagi mengelak rekod buruk gagal menang dalam dua perlawanan pembukaan Euro buat kali pertama sejak 1996.

"Saya boleh katakan yang dia dan 10 pemain lain akan bermain (menentang Poland) sebagai satu galakan utuk dia terus mendapatkan kepercayaan yang tinggi, bukan kerana dia tidak bermain baik," kata Luis Enrique dalam sidang media.

"Morata melakukan banyak perkara penting di bahagian serangan dan pertahanan dan saya tidak akan mengabaikan apa-apa.

"Hanya ada seorang pemain yang menjaringkan lebih banyak gol dalam 41 penampilan berbanding Morata, hanya David Villa.

"Sebagai contoh, penyerang terbilang kami seperti Raul atau (Fernando) Torres menjaringkan jumlah gol yang kurang daripadanya dalam 41 penampilan," katanya.

Ditanya mengenai tahap emosi Morata ketika ini, Luis Enrique menambah: "Ia amat baik. Ada ketika anda bercakap dengan pemain dan bahasa tubuhnya menjawab dengan lebih jelas dan saya sudahpun melihatnya dalam perlawanan bahawa ia amat sempurna.

"Setiap minggu bersama Alvaro, kami memberitahunya beberapa perkara yang saya mahu diperbaikinya tetapi pada minggu ini, saya tidak perlu memberitahunya apa-apa.

"Saya menggemari senyuman dan sikapnya. Saya meletakkan kepercayaan saya kepada Alvaro dan semua pemain lain," katanya lagi.