Joachim Low memberikan pujian menggunung buat aksi cemerlang yang dipamerkan Robin Gosens ketika Jerman menewaskan Portogal 4-2 dalam perlawanan Kumpulan F, Euro 2020 awal pagi tadi.

Cristiano Ronaldo meletakkan Portugal di depan pada awal permainan, di mana jaringan itu turut membolehkannya menyamai rekod Miroslav Klose selaku pemain Eropah paling banyak menjaringkan gol dalam Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (19 gol).

Pasukan kendalian Low itu kemudian bangkit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi dua jaringan sendiri pemain Portugal, Ruben Dias -- hasil tekanan daripada hantaran lintang Gosens -- dan Raphael Guerreiro, dalam masa empat minit.

Gosens, yang percubaan terdahulunya dibatalkan kerana ofsaid, membantu jaringan Kai Havertz pada awal separuh masa kedua sebelum menanduk masuk bola daripada hantaran Joshua Kimmich untuk menjaringkan gol keempat Jerman.

Diogo Jota kemudian merapatkan kedudukan buat Portugal tetapi ia sudah terlalu lewat untuk menafikan kemenangan pertama Jerman dalam edisi kali ini.

Low memberikan pujian khas buat Gosens dalam sidang media selepas perlawanan itu dan berharap masih banyak yang akan ditawarkan oleh pemain berusia 26 tahun berkenaan.

"Saya tidak tahu adakah itu merupakan perlawanan terakhir sepanjang hidupnya, mungkin dia perlu melakukannya sekali lagi," kata Low.

"Tetapi ia persembahan yang amat luar biasa daripadanya. Dia berusaha dengan amat gigih dan apa yang lebih penting, dia sentiasa memberikan ancaman di bahagian depan.

"Itulah apa yang benar-benar kamu perlukan hari ini," katanya.