Diego Llorente akan kembali ke kem latihan Sepanyol hari ini selepas diuji negatif dalam ujian koronavirus kedua.

Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) sebelum ini mengumumkan bahawa pertahanan Leeds United itu menjadi pemain kedua didapati positif COVID-19 menjelang Euro 2020 awal pegi esok selepas ketua pasukan, Sergio Busquets, terlebih dahulu dijangkiti.

Llorente diasingkan daripada kem latihan pasukan itu dan sepatutnya menjalani pengasingan kendiri selama 10 hari berdasarkan protokol kesihatan.

Bagaimanapun, kenyataan terbaru yang dikeluarkan RFEF berkata satu ujian lanjutan telah dijalankan dan pemain tu didapati negatif, sekali gus menggambarkan keputusan ujian pertama tidak tepat.

Keputusan positif Busquets meletakkan persediaan Sepanyol menjelang aksi pembukaan Kumpulan E menentang Sweden menjadi huru-hara dengan kem latihan mereka terpaksa digantung dan setiap pemain hanya dibenarkan menjalani latihan secara bersendirian.

Sepanyol juga terpaksa menurunkan skuad B-21 ketika menewaskan Lithuania 4-0 Selasa lalu -- perlawanan yang sepatutnya menjadi aksi pemanas badan terakhir skuad senior mereka.