England bangkit daripada ketinggalan menyerap tentangan Denmark untuk menempah slot ke final Euro 2020. Mereka bakal berdepan Itali di kemuncak kejohanan.

Sepakan percuma Mikkel Damsgaard pada minit ke-30 membuatkan sebilangan besar penonton di Stadium Wembley sunyi seketika. Tetapi England bangkit sembilan minit kemudian apabila Simon Kjaer menjaringkan gol sendiri.

The Three Lions mendominasi perlawanan namun gagal menembusi Denmark hingga perlawanan diheret ke masa tambahan. England kemudian mendahului buat pertama kali apabila Harry Kane menampan jaringan kemenangan.

Denmark berusaha mendapatkan jaringan penyamaan namun tidak berhasil sekaligus menyaksikan skuad kendalian Gareth Southgate itu melangkah ke final untuk bertemu Itali awal pagi Isnin sebelum Euro 2020 melabuhkan tirai.


Mari lihat lima statistik menari daripada kemenangan England dalam separuh akhir ke atas Denmark.

#5 Mikel Damsgaard menjaringkan sepakan percuma pertama Euro 2020

Denmark seperti bangkit seperti burung phoenix dalam saingan Euro 2020. Selepas menyaksikan mereka tanpa khidmat Christian Eriksen mengalami serangan jantung dalam aksi pertama, mereka menjadi pasukan pertama lolos ke pusingan kalah mati Kejuaraan Eoprah selepas tewas dua perlawanan pertama.

Denmark menyingkirkan Wales dan Republik Czech untuk mara ke separuh akhir selepas kali terakhir bergelar juara pada 1992.

Skuad kendalian Kasper Hjulmand memimpin perlawanan bertemu England di Wembley dan membuka jaringan apabila Damsgaard melepaskan rembatan melayang melepasi benteng sebelum mengatasi Jordan Pickford. Ia merupakan jaringan pertama menerusi sepakan percuma dalam Euro 2020.


Bagaimanapun, kelebihan Denmark bersifat sementara apabila England menyamakan kedudukan sebelum sekali lagi menjaringkan gol dalam masa tambahan untuk ke final.

#4 England memanfaatkan jaringan sendiri buat pertama kali dalam sejarah Kejuaraan Eropah.

Tidak terkesan dengan kualiti dimiliki lawan, Denmark bersaing dengan England pada pembukaan permainan.

Juara 1992 itu mendahului menerusi Damsgaard sebelum England kembali dalam perlawanan apabila Simon Kjaer menjaringkan gol sendiri.

Ia merupakan jaringan sendiri yang ke-11 Euro 2020 dan pertama kali England dalam sejarah Kejuaraan Eropah.


Ia merupakan gol sendiri yang ketiga buat England dalam kejohanan utama, dengan dua daripada terhasil pada Piala Dunia 1982 dan 2006 berdepan Czechoslovakia dan Paraguay.

#3 Euro 2020 menyaksikan perlawanan paling banyak ke masa tambahan dalam sejarah Kejuaraan Eropah.

Perlawanan Denmark-England merupakan yang ketujuh dilanjutkan ke masa tambahan dalam Euro 2020, paling banyak dalam satu edisi Kejuaraan Eropah.


Sepanyol bermain tiga perlawanan berturut-turut dalam masa tambahan Euro 2020. Juara tiga kali itu mengatasi Croatia 5-3 dalam pusingan 16 dan mengatasi Switzerland menerusi penentuan penalti dalam suku akhir, mereka tewas dalam separuh akhir menerusi penentuan penalti.

Terdahulu, Itali-Austria, Perancis-Switzerland dan Ukraine-Sweden merupakan perlawanan pusingan 16 yang diheret ke masa tambahan.

#2 Harry Kane menyamai rekod jaringan Lineker dalam kejohanan utama.

Selepas gagal menjaringkan gol dalam peringkat kumpulan, Harry Kane menyerlah dalam peringkat kumpulan.

Penyerang Tottenham Hotspur itu menjaringkan gol ketika mengatasi Jerman 2-0. Dia kemudian meledak dua gol ketika mengatasi Ukraine 4-0 sebelum memastikan kemenangan England ke atas Denmark.

Jaringannya ke atas Denmark, menyaksikan Kane menyamai rekod jaringan Garry Lineker (10) sebagai penjaring gol terbanyak England dalam kejohanan utama.


Terdahulu, Kane menjaringkan enam gol dalam Piala Dunia 2018 di Russia, di mana England melakar kejutan mara ke separuh akhir.

#1 England mara ke final Kejuaraan Eropah

England akhirnya menepati ramalan apabila mengatasi Denmark untuk ke final bertemu Itali.

The Three Lions, sama seperti Azzurri, tidak dibolosi dalam peringkat kumpulan. England kemudian berjaya tidak dibolosi ketika bertemu Jerman dan Ukraine. Ini bermakna mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah Kejuaraan Eropah tidak dibolosi dalam lima perlawanan berturut-turut.

Mereka gagal meneruskan rekod itu bertemu Denmark dalam separuh akhir, tetapi England menampilkan aksi cemerlang dalam memastikan tempat ke final buat pertama kali.


Ia adalah penampilan England ke final dalam kejohanan utama buat pertama kali sejak Piala Dunia 1966. England memenangi kejohanan itu dan kekal menjadi satu-satunya kejayaan di pentas antarabangsa.