Kelibat Raheem Sterling menimbulkan kegentaran pihak lawan menjelang perlawanan akhir England menentang Itali bagi penentuan gelaran Euro 2020, demikian kata bekas penyerang The Three Lions, Emile Heskey, kepada Stats Perform.

Sterling sudah meledak tiga gol sebelum menjadi arkitek buat jaringan sulung ketua pasukan, Harry Kane, dalam kempen ini ketika membenam Ukraine 4-0 dalam suku akhir.

Penyerang Manchester City itu mempersembahkan prestasi mengagumkan ketika mengatasi Denmark dalam separuh akhir yang menyaksikannya memenangi sepakan penalti dalam masa tambahan sebelum Kane menyudahkan bola muntah Kasper Schmeichel.

Sterling telah membuat 32 gelecekan dan melengkapkan 18 daripadanya -- paling banyak berbanding pemain lain sepanjang Euro 2020.

Lantas, Heskey percaya sentuhan pemain berusia 26 tahun itu akan menjadi titik tolak ketika berdepan Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini selaku kubu ampuh Azzuri.





"Raheem berulang kali membuktikan kepada kita bahawa dia adalah pemain utama bagi mana-mana pasukan yang diwakilinya," katanya.

"Baik masih muda dan beraksi untuk Liverpool mahupun sebagai pemain senior pasukan kebangsaan dan bermain untuk Man City -- walaupun dia baru berusia 26 tahun. Acap kali dia memainkan watak penting.

"Apabila bola di kakinya, dia gemar berdepan tiga atau empat kepungan lawan.

"Jika dia kehilangan bola, dia pasti akan berusaha merampasnya semula. Tetapi apabila seorang pemain berkemampuan menarik empat pemain lawan, pasti ia akan mencipta banyak ruang buat rakan sepasukannya dan itulah kelebihannya kerana semua orang sangat bimbang untuk merantainya.

"Dia memiliki kederasan larian dan walaupun terdapat ramai pemain lain yang lincah sepertinya, dia menggunakannya dengan cara yang tepat.

"Malah dalam masa tambahan (ketika menentang Denmark) dia masih mampu menggelecek pemain lawan.

"Pihak lawan tidak mahu terlalu dekat dengannya kerana ia boleh mengundang pelanggaran. Tiada pertahanan yang ingin mendekatinya."