Gareth Southgate mengakui tugasnya selaku pengurus England pasti tidak akan bertahan lama sekiranya mereka gagal mengatasi rintangan Jerman dalam pusingan 16, Euro 2020, sebentar tadi.

Laporan sepanjang minggu ini mengaitkan Persatuan Bolasepak (FA) berminat untuk mengekalkan Southgate menjelang Piala Dunia 2022, tetapi ia tampak kurang dipersetujui peminat tegar England gara-gara pemilihan kesebelasannya sepanjang kempen kali ini.

Pandangan penyokong barangkali berubah selepas mereka mencipta kemaraan di Stadium Wembley menerusi gol ketiga Raheem Sterling dalam kejohanan ini diselangi tandukan ketua pasukan, Harry Kane, untuk menghadiahkan kemenangan kepada Three Lions ke atas seteru ketat itu.

Southgate kembali ke formasi 3-4-3 bagi menandingi keampuhan Jerman yang menyaksikan pemain tengah bertahan, Declan Rice dan Kalvin Phillips, diberi tanggungjawab melindungi tiga pertahanan.

Kelibat pemain seperti Phil Foden, Jadon Sancho dan Marcus Rashford pula sekadar memanaskan bangku simpanan.




Jack Grealish muncul selepas 69 minit permainan bagi menghidupkan jentera serangan apabila turut terbabit dalam pembikinan kedua-dua gol itu.

Lantas, ia menggambarkan ketegasan Southgate untuk tidak tunduk dengan pendapat popular.

Bercakap dengan BBC Sport selepas perlawanan, dia mengakui berdepan risiko besar atas langkah yang diambilnya.




"Saya sedar bahawa jika saya mengubah pendekatan dan memilih pemain tertentu, ia boleh mengundang padah," katanya.

"Kami harus melakukannya dengan kepercayaan. Kami mahu berikan tekanan agresif di seluruh padang. Kami berasakan ia satu langkah yang tepat untuk menyaingi mereka disertai kederasan dari belakang yang mampu mengundang masalah buat lawan.

"Bukayo (Saka) dan Raheem, sejak awal benar-benar lagi sering memberi masalah kepada pertahanan mereka.

"Kami sedar mereka akan menguasai permainan dalam situasi tertentu kerana mereka mempunyai pemain yang sangat mantap dan berpengalaman. Tetapi seluruh pasukan ini bertahan dengan sangat luar biasa -- begitu juga penjaga gol.

"Ia adalah satu persembahan yang luar biasa, saya tidak mampu memberikan penghargaan tepat buat pemain."

Kritikan terhadap pemilihan Sterling memudar selepas bintang Manchester City itu menyumbangkan banyak gol, malah Southgate lega melihat Kane kembali berbisa selepas bergelut dalam tiga aksi peringkat kumpulan.

"Sepanjang masa mereka berdua harus membuktikan kritikan," tambahnya.

"Raheem memainkan watak yang cukup besar buat kami dalam jangka waktu tiga atau empat tahun ini. Kami menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap persembahannya yang begitu memberangsangkan sejak awal kempen lagi.

"Bagi Harry, saya fikir ini detik yang sangat penting buatnya. Sebagai penyerang utama orang tidak akan peduli apa lagi yang anda lakukan dalam permainan asalkan anda mencetak gol."