Pemain sayap Perancis, Ousmane Dembele, boleh melupakan baki kempen Euro 2020 gara-gara kecederaan lutut.

Pemain Barcelona itu dimasukkan selepas 57 minit permainan ketika Les Bleus seri 1-1 dengan Hungary di Budapest sebelum dikeluarkan setengah jam kemudian.

Menurut ketua jurulatih, Didier Deschamps, anak buahnya itu, yang hanya sempat melakukan 16 sentuhan dalam 30 minitnya di lapangan, mula mengadu masalah berkenaan sejurus melakukan umpan silang.

Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) menjelaskan Dembele telah dihantar untuk ujian imbasan semalam dan dia tidak akan sempat pulih tepat pada waktunya bagi memainkan peranan dalam baki kejohanan ini.




Ia satu episod lagi kecederaan yang menjejaskan karier Dembele sejak berpindah ke Barcelona daripada Borussia Dortmund, empat tahun lalu.

Masalah hamstring dan paha sering membatasi pemain berusia 24 tahun itu apabila hanya bermula dalam 54 perlawanan LaLiga sepanjang empat musim di Camp Nou.

Musim lalu, Dembele hanya lima kali melengkapkan 90 minit permainan liga.

Juara dunia itu bakal berdepan Portugal dalam aksi ketiga pada awal pagi Khamis ini dan memerlukan keputusan seri untuk menjamin tempat di kelompok dua teratas Kumpulan F.