Duo Sepanyol, Koke dan Pablo Sarabia, mengingatkan Rafael Van der Vaart tentang kejadian dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010.

Bekas pemain tengah itu melontarkan kritikan pedas terhadap prestasi La Roja dalam dua perlawanan awal Euro 2020 selepas seri 0-0 dengan Sweden dan 1-1 dengan Poland.

Hasrat mereka untuk mara ke pusingan 16 bergantung kepada kemenangan ke atas Slovakia.

Dia memberitahu NOS bahawa persembahan Sepanyol "mengerikan" untuk ditonton, sambil menambah lebih seronok Belanda dapat bertemu mereka dalam fasa kalah mati kerana Sepanyol hanya tahu saling bertukar hantaran.

Justeru, pemain tengah Atletico Madrid, Koke, beranggapan Van de Vaart "hanya inginkan perhatian dan dia kini sudah mendapatkannya" sambil mengungkit aksi bekas tonggak Real Madrid itu.

Van der Vaart antara watak skuad Oranje ketika dikecewakan dalam final Piala Dunia, 11 tahun lalu hasil jaringan Andres Iniesta pada masa tambahan.





Van der Vaart dirakam sedang berusaha menyekat penyudah Iniesta pada minit ke-116 itu tetapi tidak berhasil.

Menurutnya dalam El Partidazo de COPE: "Saya melihat aksinya dalam final Piala Dunia dan di sini, Las Rozas. Kami mempunyai foto gol Iniesta ke atas Belanda dengan (Van der Vaart) ada di sebelahnya. Anda harus menghormatinya.

"Kami akan jadikan ini sebagai motivasi. Kami tidak akan menggantungnya di bilik persalinan tapi ia tertanam di fikiran kami apabila berdepan dengan mereka."