Pengendali Sepanyol, Luis Enrique, menyifatkan kecaman terhadap Alvaro Morata adalah satu 'jenayah' dan mengatakan bahawa ini harus berada di bawah kes polis.

Morata menjadi tumpuan sejak dicemuh peminatnya sendiri ketika aksi persahabatan sebelum Euro 2020 dengan Portugal setelah gagal melunaskan deretan peluang.

Dia dikritik atas persembahannya ketika seri tanpa jaringan dengan Sweden dan seri 1-1 dengan Poland, perlawanan di mana menyaksikan dia meledak satu dan terlepas satu peluang.

Penyerang Juventus, yang dipinjamkan dari Atletico Madrid, melanjutkan tempoh pinjamannya satu musim lagi, kemudian dia gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Sepanyol menang 5-0 ke atas Slovakia, di mana La Roja layak ke pusingan 16 sebagai naib juara peringkat kumpulan.



Morata mendedahkan dalam sebuah temubual bahawa dia telah menerima ancaman di media sosial semasa kejohanan, sementara isteri dan anak-anaknya juga menjadi sasaran di khalayak ramai.

Luis Enrique berulang kali mempertahankan persembahan yang dipamerkan Morata dan dijangka kekal dalam meletakkan pemain berusia 28 tahun itu dalam kesebelasan utama bertemu Croatia bagi aksi pusingan 16, esok.

"Situasinya sangat serius sehingga harus diserahkan kepada polis kerana ia adalah jenayah serius," kata Enrique.

"Menghina Morata adalah satu bentuk jenayah dan saya harap ia dapat diselesaikan dengan secepat mungkin."