Harry Kane mengetepikan penggantiannya selepas aksi hambar ketika England seri tanpa jaringan dengan Scotland dalam saingan Euro 2020, awal pagi tadi.

England dikecewakan Scotland, skuad kendalian Steve Clarke itu menghasilkan peluang yang lebih baik ketika menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

Kane antara yang paling gagal menyerlah buat Three Lions, ketika dia sekadar melakukan 19 sentuhan sebelum digantikan dengan Marcus Rashford pada minit ke-74.

Ia merupakan sentuhan paling sedikit sepanjang beraksi untuk England di mana dia beraksi lebih daripada 45 minit, manakala gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke sasaran buat dua perlawanan berturut-turut.



Kane telah melewati dua perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan tanpa satu percubaan tepat sejak November lalu, tetapi Kane enggan memperbesar-besarkan aksi yang cemerlang itu.

Ketika diminta pendapatnya mengenai pertukarannya dengan Rashford, Kane memberitahu ITV, "Ia adalah sebahagian daripada perlawanan.

"Pengurus membuat keputusan dan dia berasakan ia adalah yang terbaik untuk pasukan. Jika dia berasakan ia adalah keputusan yang tepat, kadang-kala anda harus menerimanya.

"Ia sudahpun berlaku. Kami menghadapi satu perlawanan dalam beberapa hari lagi -- kami akan kembali membuat persiapan dan bersedia untuk menghadapinya."