Jack Grealish sedar Gareth Southgate berdepan dilema untuk menamakan kesebelasan terbaik England sambil menyifatkan pilihan di bahagian serangan The Three sebagai menggerunkan.

Ketua pasukan Aston Villa itu mencuri tumpuan ramai dalam Euro 2020, tetapi setakat ini Southgate hanya memilihnya untuk membarisi skuad utama sekali iaitu ketika menentang Republik Czech.

Grealish mencipta bantuan jaringan dalam pertembungan itu selain dimasukkan sebagai pemain gantian ketika berdepan Jerman, sekali gus mengangkatnya sebagai arkitek gol terbanyak buat pasukan kebangsaan dalam edisi kali ini.

Tidak hairanlah pemain yang paling banyak dikasari dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2020-21 (110 kali) itu juga telah memenangi tujuh sepakan percuma untuk negaranya dalam Euro 2020.

Walaupun kelibat Grealish dibatasi aksi 116 minit, ia jauh lebih berkesan daripada Marcus Rashford (58) mahupun Jadon Sancho (enam).

Bagaimanapun, Rashford dan Sancho mencetak lebih banyak gol liga pada musim lalu berbanding Grealish (16) atau pilihan lain Southgate: Raheem Sterling (17), Phil Foden (14) dan Bukayo Saka (lapan).

Tetapi keputusan sukar Southgate itu telah membuahkan hasil setakat ini dengan Sterling memulakan keempat-empat perlawanan terdahulu untuk menyumbang tiga daripada empat gol yang dilakar England, lantas Grealish tiada masalah dengan keputusan pengurusnya tersebut.





"Dia sempurna buat saya," kata pemain yang dikatakan menjadi sasaran Manchester City itu kepada wartawan.

"Kadang-kadang saya sempat mengikuti beberapa ulasan mengenai saya dan Gareth tetapi kami mempunyai hubungan yang baik. Dia melayani semua pemain begitu. Dia seorang pengurus yang cemerlang.

"Kami mempunyai enam pemain yang boleh digandingkan dengan Harry Kane. Mereka berkemampuan untuk mewakili kebanyakan kelab handalan dunia.

"Saya sendiri, Jadon, Marcus, Raheem, Phil Foden dan Bukayo. Sungguh menakutkan betapa bagusnya kami berenam. Kami tidak bersikap besar kepala. Itulah hakikatnya.

"Dia tidak mungkin dapat menurunkan kami berenam dengan serentak tetapi satu perkara yang dilakukannya dengan sangat baik adalah membuat orang berfikir bahawa kami masih boleh terlibat. Dia masih berbincang dengan semua pemain pada setiap hari."