Itali memburu dua rekod baru menjelang perlawanan pusingan 16 Euro 2020 menentang Austria di Stadium Wembley awal pagi esok.

Azzurri menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menjaringkan tujuh gol -- rekod tertinggi mereka dalam tiga perlawanan pertama kejohanan utama sejak 1998 -- selepas meraih kemenangan bersih ke atas Turki, Switzerland dan Wales.

Skuad kendalian Roberto Manciini itu tidak pernah dibolosi dalam 11 perlawanan terakhir. Rekod tanpa bolos itu telah berlarutan selama 17 jam dan 35 minit permainan sejak Donny van de Beek menjaringkan gol Belanda ke atas Itali pada Oktober 2020.

Satu lagi perlawanan tanpa bolos akan menyaksikan mereka menyamai rekod 12 perlawanan tanpa bolos berturut-turut seperti yang pernah dilakukan dari 1972 hingga 1974 dan akan turut mengatasi rekod minit tanpa bolos terdahulu, iaitu 1,143 minit.

Rentetan 30 perlawanan tanpa kalah berturut-turut yang dilakukan mereka ketika ini turut menyamai rekod terpanjang dalam sejarah mereka sewaktu dibawah bimbingan Vittorio Pozzo dari 1935 hingga 1939.

Sebelum bertemu pasukan di ranking utama dunia, Belgium, atau juara bertahan, Portugal, Itali terlebih dahulu perlu mengatasi Austria, yang tidak pernah menewaskan Azzuri dalam 13 pertemuan terakhir.

Itali juga memenangi kesemua empat pertemuan dengan Austria dalam kejohanan utama tetapi mereka hanya pernah memenangi dua daripada 13 perlawanan di London.