Penyerang Itali, Andrea Belotti, berkata memenangi Euro 2020 merupakan satu-satunya sasaran skuad Azzurri itu selepas memenangi perlawanan pertama.

Pasukan bimbingan Roberto Mancini itu memulakan kempen Eropah kali ini dengan kemenangan 3-0 ke atas Turki di Rome, Jumaat lalu.

Itali -- yang mempamerkan kebangkitan di bawah mancini selepas gagal layak ke Piala dunia 2018 -- telah merekodkan 28 perlawanan tanpa kalah menjelang pertemuan dengan Switzerland di ibu negara mereka awal pagi Khamis ini.

Juara Eropah edisi 1968 itu tidak pernah bolos dalam sembilan perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan, di mana mereka telah melalui 875 minit permainan tanpa dibolosi sejak Donny Van de Beek menjaringkan gol buat Belanda ke atas mereka pada Oktober tahun lalu -- Itali tidak pernah merekodkan 10 perlawanan tanpa bolos berturut-turut sejak melakukannya dari November 1989 hingga Jun 1990.

"Kami percaya ia adalah sasaran kami, kami terjerumus ke dasar apabila gagal layak ke Piala Dunia 2018 dan kini mahu memenangi kejohanan ini," kata pemain Torino itu kepada UEFA.com.

"Kami tahu kami mampu melakukannya tetapi kami perlu berpijak di bumi nyata dan berusaha bersama, fokus kepada sasaran ini dalam setiap perlawanan.

"Itulah caranya untuk kami ke final," katanya.

Itali hanya tewas sekali sepanjang rekod pertemuan dengan Switzerland di laman sendiri (menang 18 seri lima) -- ketika aksi persahabatan di Stadio Olimpico pada 1982, di mana ia merupakan perlawanan pertama pasukan itu selepas dibonatkan sebagai juara dunia tiga bulan sebelumnya.

Kemenangan dalam perlawanan kali ini akan menyaksikan Itali muncul selaku pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati Euro 2020.

"Terdapat semangat kebersamaan yang kuat dalam pasukan ini, kami sedar betapa pentingnya menyarung jersi ini dan bagaimana pentingnya untuk beraksi baik selepas gagal ke Piala Dunia.

"Kami sedar ini adalah tugas kami dan kami juga mempunyai keinginan yang besar untuk menebusnya, kerana itulah kami sentiasa mahu memberikan sesuatu yang lebih.

"Kami sedar semua dalam kalangan kami penting, tidak kira sama ada kami memulakan permainan atau duduk di bangku pemain.

"Perlawanan berlangsung selama 90 minit dan apa-apa sahaja boleh berlaku," tambahnya.