Granit Xhaka tidak dapat mengawal kegembiraannya sebaik Switzerland menyingkirkan juara dunia, Perancis, dalam pusingan 16 Euro 2020 awal pagi tadi dengan berkata kejayaan itu merupakan sesuatu yang "amat luar biasa".

Switzerland melengkapkan kebangkitan bersejarah mereka dalam penentuan sepakan penalti selepas waktu sebenar perlawanan di Bucharest itu berakhir dengan keputusan 3-3, di mana penjaga gol, Yann Sommer muncul wira pasukannya sebaik menyelamatkan sepakan terakhir Kylian Mbappe.

Selepas mendahului menerusi gol pembukaan Haris Seferovic sebelum sepakan penalti Ricardo Rodriguez diselamatkan Hugo Lloris pada awal babak kedua, Switzerland ketinggalan 1-3 pada 15 minit terakhir masa sebenar.

Tetapi Seferovic menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-81 sebelum Mario Gavranovic menyumbat masuk jaringan saat akhir untuk membawa perlawanan ke masa tambahan -- memadamkan jaringan berganda Karim Benzema dan gol luar kotak penalti Paul Pogba buat Perancis.

Sommer kemudian muncul wira kemaraan Switzerland apabila menyelamatkan sepakan penalti terakhir Perancis untuk membawa pasukannya ke suku akhir kejohanan utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 1954.

"Ia benar-benar amat luar biasa," kata Xhaka, yang merupakan kapten Switzerland dan pemain terbaik perlawanan itu, kepada beIN SPORTS.

"Kami ketinggalan dua gol dan kemudian kami bangkit. Selepas gagal menjaringkan gol penalti, ia sedikit mengganggu kami. Kami menunjukkan perwatakan yang cantik. Ini bukan pasukan biasa.

"Kami menunjukkan banyak perwatakan. Saya sudah tidak tahu apa untuk diperkatakan. Dalam 10 minit, kami bangkit mengikat kedudukan 3-3.

"Kami pasukan yang lebih baik sepanjang 30 minit terakhir, kami mahu menamatkan perlawanan ini dengan kemenangan sebelum penentuan sepakan penalti.

"Pada akhirnya, kamk layak. Kami mencipta sejarah buat pasukan kebangsaan kami," katanya.

Sebagai rekod, ia juga merupakan kali pertama dalam sejarah Switzerland memenangi penentuan sepakan penalti dalam Kejohanan Eropah atau Piala Dunia.