Raheem Sterling mendakwa terdapat sentuhan daripada pemain Denmark, Joakim Maehle, sebelum dia terjatuh dan mendapatkan sepakan penalti buat England untuk menang 2-1 dalam separuh akhir Euro 2020 awal pagi tadi.

Keputusan untuk memberikan England sepakan penalti pada minit ke-102 di Wembley itu terhasil selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) sebelum sepakan Harry Kane diselamatkan penjaga gol, Kasper Scmheichel, tetapi kapten Three Lions itu tangkas menyudahkan bola muntah susulan sepakan pertamanya itu.

Terdahulu, England ketinggalan di belakang gara-gara sepakan percuma gemilang Mikkel Damsgard tetapi tekanan yang diberikan Sterling ternyata membuahkan hasil apabila Simon Kjaer terjaring bola ke gawang sendiri.

Sterling berasakan keputusan untuk memberikan pasukannya sepakan penalti dalam masa tambahan itu merupakan satu keputusan tepat dengan berkata kepada ITV: "Saya masuk ke dalam kotak penalti, dia mengeluarkan kaki kanannya dan menyentuh kaki saya, jadi ia amat jelas sepakan penalti.

"Selagi bola itu menyentuh jaring belakang lawan, hanya itulah perkara yang penting."

England seterusnya akan mencongak perhitungan terakhir dalam final Euro pertama mereka dengan menentang Itali awal pagi Isnin ini.