Harry Maguire kembali menjalani latihan bersama England hari ini menjelang perlawanan pembukaan Euro 2020 menentang Croatia, Ahad ini.

Kesemua 26 anggota skuad bimbingan Gareth Southgate itu mengambil bahagian dalam sesi latihan di St George's Park untuk pertembungan di Wembley terbabit.

Maguire dipinggir sejak 9 Mei lalu apabila ligamen pergelangan kakinya terkoyak ketika Manchester United menang 4-1 ke atas Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sejak itu pertahanan tengah tersebut terlepas keempat-empat perlawanan terakhir The Red Devils musim ini yang menyaksikan mereka tumpas kepada Leicester City dan Liverpool, manakala seri dengan Fulham dan menang di Wolves.

Dia juga tersisih dalam final Liga Europa menentang Villarreal -- dimenangi wakil LaLiga itu menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 0-0 di Gdansk.



Bercakap minggu lalu, Southgate berpendapat peluang Maguire adalah tipis untuk disenaraikan bertemu Croatia memandangkan dia juga terlepas aksi pemanas badan berdepan Austria dan Romania.

Namun, pengurus The Three Lions itu menegaskan ia tindakan yang tepat untuk menyenaraikan bekas bintang Leicester tersebut dengan mengatakan: "Saya rasa dia seorang pemain yang bagus dan ia menambah pilihan kami dalam skuad ini, kepemimpinannya yang matang membuatkan kami mahu mengambil kesempatan itu bagi disuntik ke dalam skuad ini."

England, yang diundi dalam Kumpulan D, turut akan menghadapi Scotland pada 19 Jun dan Republik Czech (23 Jun).