Luke Shaw menyifatkan Harry Kane sebagai penyerang terbaik di dunia sambil menganggap keputusan 1-1 England dengan Scotland dalam Euro 2020 bukan sesuatu yang perlu dibimbangi.

Kane melepaskan satu peluang terbuka dalam kemenangan 1-0 England ke atas Croatia dalam aksi pembukaan Kumpulan D, minggu lalu, dan sekali lagi tumpul ketika mengetuai The Three Lions dalam pertemuan ke33 mereka itu, awal pagi tadi.

Penyerang Tottenham itu hanya membuat 19 sentuhan sebelum digantikan pada minit ke-74 -- catatan terendah yang pernah dilakukannya apabila terbabit lebih dari 45 minit sepanjang menyarung jersi kebangsaan.

Kali terakhir dia berdepan dengan situasi itu ialah ketika memperkuatkan Spurs, iaitu menentang Manchester City pada April 2018 (17 sentuhan dalam 90 minit).

Walaupun ini kali pertama sejak November lalu Kane gagal mencetak sebarang gol dalam dua perlawanan berturut-turut untuk kelab atau negara, Shaw menegaskan kelibat ketua pasukan England itu seharusnya tidak dipersoalkan.

"(Saya) tidak khuatir sama sekali. Secara peribadi, saya fikir dia penyerang terbaik di dunia," kata pertahanan itu mengenai pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2018 dan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) tiga kali tersebut.





"Dia adalah bahagian yang sangat penting dalam pasukan ini, sebenarnya sosok yang paling penting. Saya fikir sama ada dia belum berada di tahap terbaik atau tidak, peranannya sangat yang besar dan dia merupakan pemain penting buat kami.

"Kami memerlukannya, baik persembahannya seperti yang diharapkan orang mahupun tidak tetapi situasi ini boleh berlaku dalam sesuatu kejohanan.

"Dia mampu meledak pada bila-bila masa sahaja dan dia adalah pemain yang sangat penting -- bukan hanya di atas padang malah di luar padang. Kami menyokongnya dan saya langsung tidak bimbang."