Penyerang Manchester United, Mason Greenwood, menarik diri daripada senarai awal skuad England menjelang Euro 2020 pertengahan bulan ini berikutan kecederaan.

United semalam mendedahkan bahawa Greenwood tidak dapat menyertai skuad bimbingan Garet Southgate itu berikutan kecederaan dalaman yang turut menyaksikan dia terlepas Kejohanan Eropah B-21 pada Mac lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas Southgate mengumumkan senarai baru bagi mengecilkan skuadnya daripada 33 kepada 26 pemain.

United berkata dalam satu kenyataan menerusi laman web rasmi mereka: "Penyerang Manchester United, Mason Greenwood, telah menarik diri daripada skuad awal England bagi Euro 2020 agar dapat pulih sepenuhnya daripada satu kecederaan dalaman yang turut menghalangnya daripada terlibat dalam Kejohanan Eropah B-21 pada Mac lalu.

"Penampilan Mason bersama kelab ini telah dipantau dengan berhati-hati untuk memastikan dia dapat beraksi dalam kempen intensif Liga Perdana Inggeris dan Liga Europa 2020-21.

"Tetapi tempoh kejohanan yang lebih panjang tidak akan memberikan manfaat buatnya dan Mason akan kekal di Manchester United untuk menjalani pemulihan dan bersedia untuk latihan pramusim."