Jake Grealish mengambil inspirasi daripada rakan senegaranya, Harry Kane, menjelang kempen bersama England dalam Euro 2020 hujung minggu ini.

Perancang Aston Villa itu sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan utama peringkat antarabangsa pertamanya selepas dipilih sebagai sebahagian daripada 26 pemain yang disenaraikan Gareth Southgate bagi kejohanan itu.

Pemain berusia 25 tahun itu menamatkan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan cemerlang di Villa dan diletakkan sebagai pilihan utama untuk memulakan perlawanan menentang Croatia dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Kane juga kelihatan akan tersenarai sebegai kesebelasan utama England di Wembley hujung minggu ini dan Grealish, yang merupakan kapten kelabnya, bersedia untuk terus belajar daripada ketua pasukan England itu.

"Saya banyak berbual dengan Harry," kata Grealish dalam sidang media.

"Saya bercakap dengan semua orang dalam bilik persalinan.

"Saya fikir amat baik apabila anda datang ke pasukan England dan mendengar pandangan daripada ramai orang, melihat apa yang sesetengah mereka lakukan dan yang sesetengah mereka tidak lakukan.

"Tetapi apabila anda datang ke sini, tiada orang lain yang lebih baik untuk anda lihat selain Harry Kane, untuk melihat cara dia menguruskan dirinya dan perkara-perkara seperti itu.

"Saya fikir perkara utama apabila anda datang ke sini adalah untuk melihat pemain seperti Jordan Hendeson dan Harry Kane dan apa yang mereka lakukan di atas padang.

"Sudah pasti kita dapat melihat apa yang mereka lakukan itu tetapi dengan apa yang mereka lakukan sewaktu dalam latihan dan kawasan sekitarnya dan bagaimana cara mereka menguruskan diri, anda akan duduk di sana dan berfikir sebab itulah mereka memiliki karier seperti hari ini.

"Dan perkara seperti itulah yang saya fikir telah mematangkan saya sebagai pemain dan sebagai kapten," katanya.