Ketua jurulatih, Joachim Low percaya Jerman masih mempunyai gandingan pemain terbaik untuk mengancam Perancis menjelang pertemuan dua pasukan gergasi itu dalam Euro 2020 awal pagi esok.

Perlawanan itu akan mempertemukan dua bekas juara dunia berkenaan di Munich dalam aksi Kumpulan F, yang turut dibarisi Portugal dan Hungary.

Perancis kini diperkuatkan dengan kepulangan Karim Benzema, yang akan membentuk gandingan sama ada dengan Antoine Griezmann, Kylian Mbappe atau Olivier Giroud -- yang telah mengumpulkan 51 gol bersama Les Bleus untuk kini hanya ketinggalan lima gol di belakang penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Perancis, Thierry Henry -- di jentera serangan skuad kendalian Didier Deschamps itu.

Bagaimanapun, Low dalam sidang media menjelang perlawanan itu berkata pasukannya mempunyai pemain yang mencukupi untuk menangani jentera serangan Perancis.

"Amat jelas kami mempunyai kualiti dalam pasukan kami, keseimbangan yang baik dan gandingan pemain yang tepat di bahagian serangan.

"Kami mempunyai ramai pemain berkualiti. Timo Werner, Leroy Sane, pemain seperti ini dapat menentukan keputusan perlawanan. Kai Havertz, Thomas Muller dan Serge Gnabry juga begitu.

"Saya fikir jentera serangan kedua-dua pasukan adalah ancaman sebenar, anda tidak boleh terlepas pandang.

"Anda perlu fokus setiap minit kerana kesemua pemain ini boleh menjaringkan gol dan menjadi penentu," katanya.

Leon Goretzka mungkin diturunkan dalam perlawanan pembukaan itu selepas dilihat berlatih bersama pasukan utama biarpun sebelum ini hanya menjalani pemulihan kecederaan otot.

"Hanya Jonas Hofmann tidak dapat diturunkan. Kesemua pemain lain boleh diturunkan. Kesemua pemain menyertai latihan kami, Leon juga ada bersama kami," kata Low ketika ditanya mengenai perkembangan pasukannya.

"Saya fikir dia (Goretzka) sudah bersama kami dalam empat atau lima sesi latihan. Secara keseluruhan, dia kelihatan baik dan tidak berasa sebarang kesakitan di tempat kecederaannya.

"Dia tidak akan dirisikokan tetapi saya berkata kepada Leon bahawa kami akan berbincang selepas sesi latihan terakhir. Apa yang pasti, dia tidak akan berada dalam kesebelasan utama memandangkan dia sudah berehat terlalu lama.

"Kami akan berbincang dan membuat keputusan sama ada dia akan diletakkan di bangku pemain atau tidak, mungkin akan memberikannya beberapa minit.

"Kami akan berbincang dengan bahagian perubatan mengenainya. Saya hanya mahukan dia untuk menyertai sesi latihan dan sekiranya terdapat sebarang masalah, dia akan memberitahu saya," tambahnya.