BELANDA 2 AUSTRIA 0

Denzel Dumfries menjaringkan gol keduanya daripada dua perlawanan Euro 2020 untuk Belanda mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Euro 2020 selepas menewaskan Austria 2-0 awal pagi tadi.

The Oranje sah layak ke pusingan kedua meskipun aksi Kumpulan C itu masih berbaki satu perlawanan sebaik memperoleh kemenangan kedua di Arena Johan Cryuff selepas menewaskan Ukraine 3-2 dalam aksi pembukaan Isnin lalu.

Mamphis Depay terlebih dahulu meletakkan Belanda di depan seawal minit ke-11 selepas menyempurnakan sepakan penalti susulan tindakan David Alaba menjatuhkan Dumfries.

Dumfries, yang membuka akaun jaringan di peringkat antarabangsa menerusi gol kemenangannya ke atas Ukraine, sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila pertahanan sayap itu memanfaatkan gerakan pantas Donyell Malen untuk menolak masuk hantaran rendah itu pada minit ke-67.

Belanda akan melengkapkan perlawanan Kumpulan C dengan menentang Macedonia Utara di Amsterdam awal pagi Isnin ini manakala Austria pula akan bertemu Ukraine di Bucharest bagi penentuan pasukan kedua terbaik kumpulan itu.