"Saya sudah masak kelibat dengan Harry Kane," demikian kata Giorgio Chiellini yang mempunyai muslihat untuk merantai penyerang England itu dalam perlawanan akhir Euro 2020, awal pagi Isnin depan.

Pertahanan Itali itu sama sekali tidak gentar dengan reputasi Kane yang telah mencetak empat gol dan pastinya terbayangkan anugerah Kasut Emas bagi mengulangi pencapaian sama dalam Piala Dunia 2018.

"Saya masih ingat lagi perlawanan antarabangsa pertamanya di Turin dan dia mengagumkan saya.

"Kami bernasib baik pernah bertemu Tottenham jadi saya cukup mengenalinya," kata kapten berpengalaman itu.




The Three Lions menamatkan penantian 55 tahun untuk ke perlawanan akhir sekali gus mengintai trofi sulung di peringkat benua itu.

Kemaraan pencabar mereka itu sememangnya sudah diduga atas faktor beraksi di tempat sendiri -- enam daripada tujuh perlawanan dilangsungkan di tempat sendiri termasuk perlawanan akhir kelak.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna England kurang teruji lalu Chiellini bertindak memuji barisan anak buah Gareth Southgate itu.

"Mereka bukan hanya ada Kane malah pemain sayap yang memukau.

"Pemain simpanan mereka juga mampu memenangi Euro dan perlawanan lalu mereka mempertaruhkan Jack Grealish, Jadon Sancho, Marcus Rashford, Dominic Calvert-Lewin dan Phil Foden.

"Mereka miliki kualiti dan fizikal yang kental. Mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018.

"Ia akan menjadi satu perlawanan bola sepak yang menarik, kedua-dua pasukan tidak gentar dan kami saling menghormati," katanya lagi.